Wednesday, April 28, 2010

PILIHANRAYA KECIL PARLIMEN HULU SELANGOR

Kenegaraan: Pilihanraya Kecil Ulu Selangor April 2010

April 26, 2010

HULU SELANGOR, 25 April 2010 — Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor apabila calonnya, P. Kamalanathan menewaskan peguam terkenal dan bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi dalam pilihan raya kecil paling sengit sejak pilihan raya umum 2008.

Ketua Penerangan MIC yang juga seorang pegawai perhubungan awam itu memperoleh 24,997 undi menewaskan Zaid, yang dipecat daripada Umno pada Disember 2008 kerana menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

Bekas Anggota Parlimen Kota Baharu yang kemudiannya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menerima 23,272 undi.

Sejumlah 731 undi rosak pada pilihan raya kecil yang menyaksikan sejumlah 48,935 pengundi atau 75.87 peratus pemilih keluar mengundi pada Ahad. Kawasan Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pengundi.

Pada pilihan raya umum 2008 yang merupakan “tsunami politik” bagi BN, Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel, yang juga merupakan Anggota Parlimen kawasan itu selama empat penggal, gagal mempertahankan kerusi apabila tewas dengan majoriti 198 undi kepada Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR. Dr Zainal Abidin meninggal dunia pada 25 Mac.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN bersama-sama pemimpin parti komponen BN berada di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Pejabat Daerah di Kuala Kubu Bharu untuk meraikan kejayaan BN bersama-sama ribuan penyokong BN.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon, Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk M. Kayveas dan para pemimpin parti.

Sejak pilihan raya umum 2008, sebanyak 10 pilihan raya kecil diadakan, dengan BN memenangi tiga daripadanya, termasuk kemenangan kerusi Parlimen Hulu Selangor malam ini yang sangat penting bagi mendapatkan kembali keyakinan dan sokongan rakyat.

Ia merupakan kemenangan bermakna bagi BN, terutamanya kepada Najib yang semasa berkempen menyatakan bahawa pilihan raya kecil itu bukan sahaja untuk memilih seorang Anggota Parlimen tetapi merupakan pungutan suara bagi hala tuju baru negara.

Najib sendiri turut turun berkempen sebaik sahaja kembali ke tanah air selepas melakukan lawatan luar negara, pergi ke kampung-kampung, bandar, kawasan rancangan Felda, bersama timbalannya Muhyidin yang saban hari berada di Hulu Selangor sejak penamaan calon pada 17 April.

Bulan Mei 2010, satu lagi pilihan raya kecil akan diadakan, iaitu kerusi Parlimen Sibu, ekoran kematian penyandangnya Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Robert Lau Hoi Chew.

Ia bukanlah satu laluan mudah bagi BN kerana pada awalnya terpaksa menempuh keadaan sukar memilih calon apabila MIC bertegas mencadangkan Palanivel menjadi calon BN manakala pucuk pimpinan BN mahukan muka baru seperti yang dikehendaki peringkat akar umbi.

Akhirnya, mereka bersetuju dengan pemilihan Kamalanathan atas dasar kompromi.

BN juga berhadapan dengan pakatan PKR-DAP-PAS yang diketuai Ketua Pembangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat sambutan dan menarik minat orang ramai namun ia tidak berupaya mengatasi parti pemerintah yang berusaha menyelesaikan banyak masalah rakyat setempat, termasuk isu-isu kebajikan dan kehendak pengundi.

No comments:

Tajuk lain yang mungkin diminati

Related Posts with Thumbnails