Sunday, March 21, 2010

PENGAJIAN AM 1

Kenegaraan: Parlimen dan Wakil rakyat Bebas.

KUALA LUMPUR 15 Mac 2010– Mengalahkan Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang! Bekas Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hadir pertama kali sebagai wakil rakyat Bebas untuk pembukaan sidang Penggal Ketiga Parlimen ke-12 hari ini, menjadi tumpuan media sama ada untuk ditemu bual atau dirakamkan aksi mereka oleh lensa jurugambar.

Sebaik sahaja sidang Dewan Rakyat ditangguhkan pada pukul 11.15 pagi selepas titah ucapan diraja, lebih 200 wakil media yang membuat liputan berpusu-pusu ke lobi Parlimen untuk mencuri peluang mendapatkan reaksi terkini mereka.

Berbeza dengan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri yang tidak nampak kelibatnya, dua wakil rakyat Bebas lain, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru) dan Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) bagaikan menyerah diri kepada media. Mereka berdua ditemui duduk santai di luar lounge Ahli Parlimen.

Walaupun awalnya nampak gugup, kedua-duanya mula ceria apabila dikerumuni pemberita dan tidak putus-putus menjadi sasaran lensa jurukamera.

Beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menyedari kehadiran mereka berdua turut mengambil kesempatan berjabat tangan mengucapkan tahniah.

Baik Zahrain mahupun Zulkifli, masing-masing menafikan akan menyertai parti lain buat masa ini, sebaliknya lebih selesa dengan status sebagai wakil rakyat Bebas.

“Rasanya saya akan lebih efektif sebab tidak ada sekatan untuk bersuara,” ulas Zulkifli mengenai kedudukannya.

Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang turut dikerumuni para wartawan juga meluahkan ungkapan sama untuk tidak menyertai mana-mana parti politik dalam waktu terdekat.

Menurutnya, beliau kini dalam proses membiasakan diri sebagai wakil rakyat tanpa parti.

Mungkin sebab itu, berbanding Zahrain dan Zulkifli yang selamba bergaul dan beramah mesra dengan ahli-ahli Parlimen BN, Tee Beng lebih banyak mundar-mandir di lobi Parlimen.

Cuma yang menimbulkan tanda tanya media, kehadiran Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo-Burne yang dilihat asyik ‘berkepit’ dengan bekas rakan separtinya itu.

Apatah lagi namanya antara yang disebut-sebut bakal menyusul tindakan Zahrain, Tee Beng dan Mohsin Fadzli.

Anak muda yang menggemparkan dengan video V.K.Lingam itu bagaimanapun hanya memberi isyarat tangan enggan mengulas ketika cuba dijolok pemberita.

Namun sidang Parlimen baru bermula. Tempoh sebulan masih panjang untuk membuat kejutan pada persidangan kali ini seperti dijanjikan oleh Zulkifli.

(Sumber : Dipetik dan diubahsuaikan daripada http://goaypastpm.wordpress.com)

1 comment:

Khai2020 said...

Yang penting adalah amanah dan tanggungjawab rakyat yang dipikul...

Tajuk lain yang mungkin diminati

Related Posts with Thumbnails