Friday, April 16, 2010

KENEGARAAN

HUBUNGAN MALAYSIA-AMERIKA SYARIKAT

Hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat maju setapak lagi apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Barack Obama pertama kali mengadakan pertemuan dua hala di sini pada Isnin.

Permulaan perbincangan berkisar kepada perkara-perkara ringan sebelum kedua-dua pemimpin itu menyentuh beberapa isu besar melibatkan perdagangan dan ketakcambahan nuklear, kata pemangku Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim kepada Bernama.

“Pertemuan berlangsung dalam suasana mesra dan meyakinkan. Saya rasa perbincangan ini membawa hubungan dua hala ke satu tahap kesungguhan yang lebih tinggi,” kata Rais yang juga Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Malahan semasa delegasi Malaysia hendak beredar, Obama mengajak Najib berbual dengan beliau untuk beberapa minit lagi.

Semasa perbincangan selama 40 minit antara kedua-dua pemimpin itu, mereka menyentuh mengenai kerjasama ekonomi, dan Obama tahu tentang Model Ekonomi Baru yang Najib umumkan dua minggu lepas bertujuan antara lainnya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

“Presiden Obama memuji Perdana Menteri kerana memperkenalkan satu model ekonomi yang mantap, dan Setiausaha Negara Hillary Clinton bercakap mengenai peluang yang boleh dinikmati syarikat-syarikat Amerika di Malaysia di masa depan.

“Jadi, dalam bidang ekonomi, ia amat memberangsangkan,” kata Rais.

Najib turut memberi jaminan bahawa Malaysia akan mengambil bahagian secara aktif dalam Perkongsian Trans-Pasifik yang diperkenalkan oleh pentadbiran Obama untuk menggerakkan integrasi ekonomi di rantau Asia-Pasisik yang menguasai 40 peratus daripada perdagangan dunia.

Mengenai isu antarabangsa pula, Obama meminta sokongan Malaysia dalam membantu membina semula Afghanistan dan berhubung kebimbangan masyarakat antarabangsa terhadap peningkatan kuasa nuklear Iran.

Najib memberi jaminan mengenai kesediaan Malaysia membantu program perubatan dan pembangunan di Afghanistan, dan Obama mencadangkan agar perkara itu dibincangkan lagi dalam pertemuan Perdana Menteri dengan Wakil Khas Amerika Syarikat Richard Holbrooke pada Khamis.

Mengenai Iran, Rais berkata kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa Iran perlu berpegang kepada janjinya untuk menggunakan tenaga nuklear hanya untuk tujuan keamanan.

“Mereka bersependapat bahawa setiap negara mempunyai hak kepada tenaga nuklear untuk tujuan yang baik dan dalam soal ini setiap negara harus dilihat berniat murni dan telus,” katanya.

Obama juga menyambut baik langkah Malaysia memperkenalkan undang-undang bagi membanteras urusan penjualan senjata secara haram bagi mengelak percambahan senjata.

Najib mengulangi pendirian tegas Malaysia untuk terus menentang percambahan senjata.

Perdana Menteri juga menjelaskan kepada pemimpin Amerika itu mengenai Asean, keadaan di selatan Filipina dan Thailand, dan kejayaan Malaysia menyekat hubungan pertubuhan militan, Jemaah Islamiah, dengan al-Qaeda.

Beliau turut mengundang Obama untuk melawat Malaysia.

“Ini turut membuat kedua-dua pihak ketawa apabila Perdana Menteri menyatakan bahawa kali terakhir seorang Presiden Amerika Syarikat melawat Malaysia ialah oleh Lyndon Johnson pada tahun 60an,” kata Rais.

No comments:

Tajuk lain yang mungkin diminati

Related Posts with Thumbnails